Tuesday, 22 October 2013

Bangsa India Malaysia

Setelah sekian lama, saya telah bercadang untuk menulis dalam Bahasa Melayu yang kini dikenali sebagai Bahasa Malaysia. Kali terakhir saya menulis dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan kita adalah ketika di sekolah menengah, iaitu hampir 13 tahun yang lepas.

Oleh itu, saya memohon maaf sekiranya penggunaan bahasa tidak begitu memuaskan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa. Setiap bangsa di negara kita mempunyai asal-usulnya yang tersendiri. Saya ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi ilmu  mengenai Bangsa India dan suku-sukunya.

Bangsa & Kewarganegaraan
Istilah Bangsa India atau 'Indian' sebenarnya merupakan istilah kewarganegaraan yang digunakan oleh penjajah British untuk merujuk kepada rakyat Empayar British India. Walaupun orang-orang India di Malaysia bukan lagi warga negara asal moyang mereka, namun istilah ini masih digunakan sebagai nama bangsa di Malaysia.

Pada pendapat saya, adalah tidak wajar untuk menggunakan istilah ini. Ini adalah kerana kami kini merupakan rakyat sah negara Malaysia dan bukannya negara India.

Seperti mana 'Indian' digunakan untuk mereka yang datang dari India, istilah 'Ceylonese' digunakan untuk mereka yang datang dari Sri Lanka. Sri Lanka dikenali sebagai Ceylon sebelum tahun 1972. Apa yang menghairankan ialah, istilah 'Indian' dan 'Ceylonese' telah memisahkan serumpun bangsa yang kebanyakannya menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda .

Tetapi untuk mengelakkan kekeliruan para pembaca, saya akan menggunakan istilah Bangsa India atau 'Indian' di rencana saya ini.

Kaum & Bahasa Ibunda
Bangsa India di negara ini mempunyai pelbagai bahasa. Bahasa-bahasa yang digunakan berasal dari wilayah yang berlainan. Sebelum kewujudan Empayar British India, setiap kaum mempunyai kerajaan tersendiri dengan raja yang berdaulat di wilayah mereka.

Mereka yang berasal dari Kerala bertutur dengan menggunakan Bahasa Malayalam. Oleh itu mereka dikenali sebagai Kaum Malayali. Mereka yang berasal dari Tamil Nadu bertutur dengan menggunakan Bahasa Tamil. Oleh itu mereka dikenali sebagai Kaum Tamil.

Kaum Punjabi pula berasal dari negeri Punjab dan mereka menggunakan Bahasa Punjabi. Kaum Telugu merupakan pengguna Bahasa Telugu dari negeri Andra Pradesh.

Oleh itu, identiti kaum dikalangan orang India ditentukan oleh bahasa ibunda mereka. Bahasa ibunda saya ialah Bahasa Tamil. Keluarga bapa saya berasal dari daerah Sivagangai (selatan Tamil Nadu) dan keluarga ibu saya berasal dari daerah Thanjavur (timur Tamil Nadu).

Kasta & Persaudaraan 
Kita sering mendengar perkataan kasta digunakan tetapi tidak ramai yang faham maksudnya. Kasta boleh dibahagikan kepada dua. Iaitu Jathi dan Varna. 

Jathi merupukan suku atau puak, manakala Varna merupakan kategori sosial sesuatu individu ataupun puaknya. Jathi ditentukan oleh kelahiran dan tali persaudaraan tetapi Varna ditentukan oleh pekerjaan dan status sosial.

Antara suku-suku dikalangan Kaum Tamil

Vellalar
Vanniyar
Kallar
Maravar
Agamudayar
Pallar
Chetty
Paraiyar
Yadava
Shanar
Paravar

Saiz dan bilangan suku setiap kasta adalah berbeza dari satu sama lain. Setiap suku mempunyai tradisinya yang tersendiri. Selain itu, suku-suku ini berasal dari daerah-daerah yang berlainan. 

Misalnya, kebanyakan Vanniyar berasal dari kawasan utara Tamil Nadu manakala suku Paravar pula berasal dari kawasan tepi laut (terutamanya di tenggara Tamil Nadu dan utara Sri Lanka).

Selain tradisi yang berbeza, suku-suku ini juga mempunyai loghat Bahasa Tamil yang berbeza dan agak unik. 

Loghat-loghat yang digunakan bergantung kepada daerah yang diduduki. Loghat Nellai Tamil, Madurai Tamil dan Kongu Tamil adalah antara loghat yang boleh didengar.

Kaum Tamil sebenarnya menggunakan nama akhir (last name) sebelum era politik Dravidia (era reformasi sosial Periyar) . Nama akhir diwarisi melalui keturunan bapa dan ia menunjukkan keluarga dan suku masing-masing.

Misalnya, saya menggunakan Thevar sebagai nama akhir kerana saya berasal dari suku Maravar.  Suku Maravar, Kallar dan Agamudayar juga digelar sebagai kasta Mukkulathor.

Antara nama akhir yang digunakan oleh suku-suku lain ialah: 

Pillai (Suku Vellalar)
Mudaliar (Suku Vellalar, Suku Agamudayar)
Kavundar/Kaunder/Gounder (Suku Vellalar, Suku Vanniyar, Suku Vettuvar dan Suku Kurumbar)
Nadar (Suku Shanar)
Kudumbar (Suku Pallar)
Konar (Suku Yadava)
Udayar (Suku Parkavakulam)

Kasta Mukkulathor mempunyai kira-kira 1,135 nama akhir. Thevar adalah salah satu daripada nama akhir yang digunakan.

Seperti yang dikatakan tadi, Varna ditentukan oleh pekerjaan dan kedudukan sosial. Mengikut kepercayaan masyarakat India yang kebanyakannya beragama Hindu, setiap tamadun manusia boleh dibahagikan kepada 4 Varna

Brahmin - Golongan paderi, ketua agama dan intelektual
Kshatriya - Golongan perwira dan pemerintah
Vaisya - Golongan perniagaan dan perdagangan
Sudra - Golongan petani dan buruh

Varna pada asalnya boleh ditukar. Misalnya, seorang askar boleh bekerja sebagai seorang petani. Tetapi, lama-kelamaan konsep Varna dimanipulasi untuk menjaga kepentingan sesetengah golongan masyarakat. 

Terdapat juga teori yang mengatakan bahawa sistem Varna melarang mobiliti sosial supaya setiap suku dapat menggunakan kebolehan masing-masing untuk melakukan pekerjaan yang paling sesuai untuk mereka. 

Misalnya, suku yang bersifat agresif seperti Kallar adalah lebih sesuai menjadi askar berbanding dengan orang-orang Brahmin yang kurang agresif. Oleh itu, adalah wajar untuk mereka meneruskan pekerjaan tradisi suku mereka pada zaman itu.

Sistem Varna tidak lagi diamalkan pada zaman moden ini kerana sistem demokrasi yang diamalkan kini membolehkan setiap individu memilih pekerjaannya.

Agama Hindu & Kepercayaan 
Agama-agama seperti Islam, Kristian dan Judaisma digelar sebagai Agama Abrahamik. Agama-agama ini mempunyai pengasas dan merujuk kepada satu kitab sahaja. Selain itu, agama-agama ini juga dipengaruhi budaya kaum pengasasnya.

Seperti yang anda tahu, kebanyakan orang India masih menganuti agama asal mereka, Agama Hindu.

Agama Hindu sebenarnya merupakan satu koleksi pelbagai agama yang wujud di benua India. Agama Hindu boleh dibahagikan kepada Vaishnava, Saiva, Shakta dan ia tiada pengasas.

Walaupun pengamalan agama, para guru, kitab-kitab suci dan tafsirannya berbeza, masyarakat Hindu percaya bahawa Tuhan Yang Esa adalah satu, hanya nama dan cara menyembahNya berbeza. 

Ini kerana konsep ketuhanan di dalam Agama Hindu menerangkan bahawa dunia mempunyai pelbagai tamadun. Setiap tamadun mempunyai bahasa dan budayanya yang tersendiri. 

Oleh kerana itu, masyarakat Hindu percaya bahawa setiap makhluk adalah ciptaan Tuhan yang sama dan pengamalan agama sesuatu tamadun harus dihormati walaupun berbeza dengan cara kita.

Saya berharap penjelasan saya tentang masyarakat India dan suku-sukunya dapat membantu anda memahami kami lagi. Sekiranya anda ingin membaca versi Inggeris, sila klik di bawah ini.



Sekian, terima kasih.
- Comments

No comments:

Post a Comment